Selamat Hari Guru 2011

Posted by erie | | Posted On Tuesday, May 17, 2011 at 12:25 AM


Hadiah untuk Guru Pentadbir

Kenaikan pangkat guru diberi nafas baru

KUCHING 16 Mei - Warga pendidik kini boleh menikmati lonjakan gred dalam perkhidmatan melalui kaedah kenaikan pangkat yang diberi nafas baru melibatkan pengenalan konsep Guru Wibawa dan Pendeta Guru bermula 1 Januari 2012.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengumumkan perkara itu berkata, menerusi kaedah itu guru akan dikategorikan mengikut empat lapisan jawatan iaitu Guru Biasa, Guru Kanan, Guru Wibawa dan Pendeta Guru.

Menurutnya, melalui konsep Guru Wibawa dan Pendeta Guru, laluan kerjaya guru yang terlibat dalam aspek pengajaran dan pembelajaran (PDP) akan diperluaskan sehingga ke Gred 54 dalam tempoh perkhidmatan 25 tahun dengan memenuhi tahap kecemerlangan serta lain-lain syarat yang ditetapkan Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pendidikan.

"Kewujudan empat lapisan jawatan tersebut akan membolehkan peningkatan ke gred yang lebih tinggi berdasarkan kecemerlangan," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi rakaman video yang ditayangkan pada Perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-40 yang dilancarkan oleh Timbalannya yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini hari ini.

Sambutan bertemakan Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara itu turut dihadiri isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri, Puan Sri Ragad Kurdi Taib serta 4,000 warga pendidik dan tetamu jemputan.

Perdana Menteri turut mengumumkan bahawa mana-mana guru yang menunjukkan kecemerlangan seperti ditetapkan oleh lembaga tersebut boleh mencapai Gred Khas C dan ke atas sebelum bersara.

Katanya, bagi guru-guru yang tidak dinaikkan pangkat ke Gred Khas, mereka masih berpeluang untuk menikmati Pergerakan Gaji Tahunan.

"Untuk itu, kerajaan bersetuju menambah lagi jawatan Gred Khas C bagi laluan PDP sebanyak 100 peratus menjadi 72 jawatan berbanding 36 jawatan sedia ada di bawah konsep Guru Wibawa dan Pendeta Guru," katanya.

Beliau turut mengumumkan persetujuan kerajaan untuk menaikkan gred jawatan semua Pengetua Sekolah Menengah Gred DG48 ke Gred DG52 yang melibatkan 1,228 jawatan.

Katanya, semua Guru Penolong Kanan (GPK) Pentadbiran, Hal Ehwal Akademik dan Kokurikulum Sekolah Menengah Gred DG44 pula dinaikkan ke Gred DG48, melibatkan 6,585 jawatan.

"Seterusnya, semua GPK Pentadbiran, Hal Ehwal Akademik dan Kokurikulum di sekolah rendah Kluster dinaikkan dari Gred DGA32 ke Gred DGA34 yang melibatkan sejumlah 99 jawatan," katanya.

Ulasan. Yang paling beruntung ialah guru yang ada jawatan besar seperti Pengetua/Guru besar, GPK dan guru kanan. Guru biasa dapat pergerakan gaji biasa.

Comments:

There are 0 comments for Selamat Hari Guru 2011

Post a Comment